“Apa-apa hal tanya kucing akak,” mesej lucu abang Ninja Van buat ramai yang tergelak

Animal Entertainment Lifestyle

Melakukan barang secara dalam talian bukan lagi sesuatu yang baru malah sudah menjadi kelaziman pada hari ini. Sebut sahaja apa pun barang, hampir kesemuanya boleh didapatkan di internet termasuklah barang dapur.

Namun begitu, adakalanya kita tiada di rumah ketika barang dihantar. Jadi, terpaksa lah penghantar barang meletakkan barang kita di rumah asalkan tempat itu selamat. Ada yang masukkan barang melalui tingkap, ada juga yang meletak barang di atas rak kasut dan kali ini abang penghantar meletakkan barang di atas kerusi yang diawasi oleh kucing tuan rumah.

Momen lucu tersebut telah diceritakan oleh seorang pengguna Twitter, @ikhasuhaimi20 yang telah memuat naik gambar tangkap skrin pada telefon bimbitnya di laman sosial tersebut dengan kapsyen, “terhibur betul pagi-pagi ni. Terima kasih Ninja Van,”

Apa yang dilakukan oleh penghantar barang itu ialah dia telah meletakkan barang tersebut dan kemudian menghantar mesej melalui WhatsApp bersama gambar barang tersebut serta kucing yang sedang tidur. Apa yang lucunya ialah mesejnya yang berbunyi, “barang akak dah sampai dan saya letak kat kerusi. Apa apahal boleh tanya kucing akak.”

Nampaknya tugas berat menanti kucing itu kerana tanggungjawab menjaga bungkusan tersebut sudah ‘diserahkan’ kepadanya. Bayangkan kalau apa-apa jadi, memang dia yang kena jawab!