Resipi kari daging korban lazat dimakan bersama nasi putih sehingga menjilat jari

Lifestyle

Beberapa minggu lepas sebaik Hari Raya Aidil Adha, pasti ramai antara anda yang menerima daging korban yang datang segar dari surau dan masjid yang diagihkan selepas selesai Ibadah Korban.

Daging korban yang masih segar pasti sangat sesuai dimasak sup daging dan tulang atau paling ‘best’ masak kari, kerana rasanya yang masih manis berjus.

Ikuti resipi Kari Daging Korban hasil perkongsian Adie Idris seperti di bawah:

Bahan-bahan Kari Daging:

  • Daging lembu (Daging korban yang masih ada dalam peti ais di rumah atau beli sahaja daging lembu di pasar)
  • 4 labu Bawang besar
  • 5-10 ulas Bawang putih
  • 2-3 ulas Halia
  • Kulit Kayu Manis
  • Bunga Lawang
  • Buah Pelaga
  • Cengkih
  • 2 paket Rempah Kari Daging 25 gram
  • 2 sudu besar Cili Kisar
  • Daun kari
  • 3 keping asam keping
  • Air rebusan daging
  • Santan kotak 200ml
  • Garam secukup rasa.
  • Minyak untuk menumis
  • Ubi kentang
  • Lobak merah
  • Tomato
  • Cili Merah dan Cili Hijau

Cara-cara memasak Kari Daging:

1. Rebus daging sampai empuk dan kemudian asingkan seketika. Air rebusan daging dibiarkan sejuk untuk dimasukkan ke dalam masakan kari kelak.

2. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia, juga kisar cili kering menjadi cili kisar dalam dua hingga tiga sudu besar.

3. Rempah kari daging dibancuh bersama sedikit air menjadi pes kari.

4. Potong empat atau dadu besar kentang dan lobak merah (ikut suka).

5. Potong tiga biji tomato, cili merah dan cili hijau sebagai hiasan.

6. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih dan daun kari dan tumis seketika.

7. Masukkan bahan kisar bawang besar, bawang putih, halia dan cili. Tumis sampai naik minyak.

8. Masukkan rempah kari daging dengan campuran sedikit air dan kacau lagi sehingga naik minyak.

9. Masukkan daging yang telah direbus tadi dan kacau sebati.

10. Tambahkan kentang yang dipotong empat dan kacau sebati.

11. Masukkan lobak merah dan kemudian asam keping.

12. Tuang semua air rebusan daging dan gaul sebati. Biarkan kari daging mendidih seketika.

13. Tambah garam secukup rasa.

14. Masukkan santan kotak dan kacau sebati sehingga santan naik minyak. Biarkan seketika sehingga kari daging masak.

15. Akhir sekali masukkan tomato, cili merah dan cili hijau yang telah dibelah dua sebagai hiasan.

16. Tutup api dan Kari Daging Korban yang enak siap tersedia untuk dimakan.

Selamat mencuba!

Tonton video di bawah: