Simpati lihat kucing kesejukan dalam kolam, anjing ini melompat masuk lalu menyelamatkannya raih perhatian warganet

Animal Inspired

Rata-rata kucing domestik sememangnya agak bencikan air dan seboleh mungkin mengelakkan diri mereka daripada basah terkena air, termasuklah ketika mandi.

Memandikan kucing bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya pada kucing yang agak ‘melawan’ dan tidak boleh duduk diam.

Justeru, kucing membersihkan diri dengan menjilat bulunya. Tindakan ini akan mengurangkan minyak daripada bahagian kulit berada pada bulu badannya.

Oleh yang demikian, bulu kucing lebih gebu dan tidak kalis air seperti anjing. Disebabkan itu, mereka mudah kesejukan dan bulu mereka terasa berat jika dibasahi air.

Jika berlaku insiden terjatuh di dalam longkang ataupun kolam air, pasti ia bukanlah satu kejadian yang menyenangkan buat haiwan comel ini.

Seorang pengguna ada berkongsi satu rakaman video di laman YouTube yang menunjukkan seekor kucing berada di kolam yang dipenuhi air.

Kucing malang itu kelihatan ketakutan. Nasib menyebelahinya apabila terdapat seekor anjing berwarna coklat di situ yang berniat murni ingin membantunya.

Berasa anjing itu sebagai musuh tradisi, kucing itu pada mulanya tidak menyenangi kehadiran anjing itu. Anjing itu diserangnya menggunakan tangan.

Kemudian anjing tersebut melompat masuk ke dalam kolam lalu berenang ke bahagian bawah tubuh kucing itu sekaligus mengangkat kucing itu di atas tubuhnya.

Anjing itu kemudian dilihat segera menghampiri tebing kolam bagi membolehkan kucing berkenaan memanjat keluar.

Baiknya hati anjing berkenaan! Walaupun pada mulanya niat murni tersebut tidak disambut baik oleh si kucing namun anjing itu tidak berhenti setakat itu.

Ini membuktikan bahawa anjing tersebut sangat bertimbang rasa dan simpati terhadap nasib yang menimpa kucing tersebut, walaupun mereka bukanlah sama spesies.

Inilah keistimewaan makhluk pintar seperti anjing ini. Dengan keberaniannya, maka dapatlah kucing itu diselamatkan.

Sangat mengagumkan! Semoga kita mendapat teladan daripada tindakan si anjing yang baik hati dalam membantu haiwan lain yang dilanda kesusahan ini ya…