“Tuan sendiri dok hias”, wanita kongsi bapa bantu hasilkan kejutan gubahan bunga tanpa mengetahui dirinya adalah penerima

Inspired Lifestyle

Penghasilan bunga daripada kertas bukanlah satu tugasan yang mudah dan memerlukan ketelitian yang rapi. Tambahan pula, bukan semua insan dikurniakan bakat menghasilkannya.

Kertas-kertas tersebut perlu dilipat dan dibentuk menjadi seperti kuntuman bunga yang kelihatan kebih kurang sama dengan bunga sebenar.

Jika salah lipat, lipatan perlu dibuka semula. Agak sukar sebenarnya, bukan? Seorang wanita di Twitter baru-baru ini berkongsi kisahnya menghasilkan jambangan bunga daripada duit kertas.


Wanita berkenaan difahamkan selalu mengambil upah gubahan sejambak duit kertas. Bersempena dengan hari lahir bapanya yang bakal tiba, dia memutuskan untuk membuat kejutan.

Ya, dia mahu menghadiahkan sejambak bunga daripada wang kertas berkenaan khas buat bapanya.

Cukup menggelikan hati apabila bapa wanita tersebut turut membantu anaknya melakukan gubahan tersebut tanpa mengetahui dirinya merupakan penerima gubahan itu.

Hal ini kerana, wanita tersebut terpaksa ‘menipu’ bapanya dengan berkata bahawa gubahan itu dihasilkan untuk pelanggan yang menempah hasil kerjanya.

Gigih si bapa bantu anaknya meletakkan bunga kertas berkenaan. Sehingga kini, tweet tersebut telah di’retweet’ lebih 21,000 kali.

“Tinggal sorang ni (bapa) je harta dunia akhirat yang ada. Semoga panjang umur ayah. Tak minta banyak, semoga terus panjang umur”.

“Bagilah masa untuk anak-anak terus berbakti”, tulis wanita itu yang telah pun kehilangan ibu tercinta sebelum ini.

Begitu menyentuh hati luahan si anak. Semoga kita semua sempat berbakti dan terus membahagiakan kedua ibu bapa hendaknya.