Lebih 2 jam “tidak melakukan apa-apa” di hadapan kamera, video lelaki ini tular sehingga mendapat ratusan ribu tontonan

Entertainment

Seorang pembikin video di laman YouTube atau seringkali dikenali sebagai YouTuber dari Indonesia baru-baru ini telah memuat naik sebuah video yang sangat luar biasa dan tidak pernah dibuat oleh sesiapapun. 

Isinya sangat mudah, dengan ‘tidak berbuat apa-apa.’

Saluran YouTube berkenaan, sobat miskin official, pada 10 Julai lalu telah memuat naik sebuah video bertajuk “2 jam nggak ngapa-ngapain”, yang bermaksud “2 jam tidak melakukan apa-apa” di dalam Bahasa Melayu. Video yang sememangnya melebihi tempoh dua jam itu bagaimanapun telah menjadi tular, sehingga telah meraih sebanyak 927,172 tontonan sehingga entri ini dihasilkan.

Untuk sebuah video yang secara literalnya tidak melakukan apa-apa, bilangan tontonan yang diraih itu sememangnya amat luar biasa!

Menerusi video yang berdurasi selama 2 jam 20 minit itu, Didit yang merupakan pengemudi saluran sobat miskin official dengan tekunnya menghasilkan rakaman video itu. Sambil duduk di tepi katil, Didit hanya memandang dengan pandangan kosong ke arah kamera. 

Sesekali, Didit turut mengerdipkan matanya. Tambah mengagumkan, dia langsung tidak melakukan apa-apa mimik muka sepanjang tempoh lebih dari dua jam itu!

Sehingga entri ini dihasilkan, video oleh saluran sobat miskin official ini juga telah mendapat sebanyak 14,335 komen dari para warganet yang berasa cukup terhibur dengan isi video yang luar biasa ini.

“Apabila pengarah tidak memberi isyarat “action”

Ada antaranya juga yang tidak lupa meninggalkan komen yang menghiburkan.

“Plot kejutan: dia hanya tidur sepanjang tempoh 2 jam dengan mata yang terbuka”

“Plot kejutan: sebenarnya dia boleh bertahan lebih lama, tetapi bateri kameranya telah lemah”

Nampak senang, tetapi kami percaya, untuk tidak melakukan apa-apapun dalam tempoh lebih dari 2 jam sememangnya tidak mudah!