Penjual murtabak secara kreatif menukar kereta Kancil jadi trak makanan mudah alih yang comel

Business Inspired Lifestyle

Ketika Perodua menjadi kereta nasional kedua negara, model Kancil menjadi kenderaan tahan lasak mampu dimiliki bagi mereka yang mahu bermula memakai kereta pertama.

Kini seiring dengan peredaran zaman bersama kehadiran pelbagai pilihan kereta berjenama dan mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana, Kancil sering diabaikan kerana saiznya yang kecil dan kemampuannya juga terhad untuk bersaing dengan kereta lebih besar yang lain.

Namun, sebenarnya pernahkah anda terfikir kereta Kancil yang kecil ini boleh terus memberikan jasanya untuk masa depan atau prospek yang lebih jauh seperti membantu anda memulakan perniagaan sendiri misalnya?

Contohnya seperti yang kita lihat dalam gambar yang tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang peniaga murtabak telah mengubah suai kereta Kancil 660cc menjadi trak makanan atau kendera saji mudah alih yang comel.

Pemilik perniagaan bernama Yahya Che’an, 65 tahun pada mulanya bekerja sebagai pemandu lori sebelum berjinak-jinak dalam perniagaan menjual murtabak maggi bersama isterinya.

Menurut Pak cik Yahya kepada media, dia mula menjual murtabak maggi secara sambilan sejak 30 tahun lalu. Pada tahun 2012, dia memutuskan untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan ini kerana dia perlu menyara enam orang anaknya.

Twitter

Pak cik Yahya berkata dengan bantuan isterinya, Noraini Abdullah, 60 tahun, mereka sudah biasa membuka gerai berhampiran sebuah stesen minyak di Batang Kali, Selangor dengan menggunakan gerai bergerak dan meja lipat.

Tetapi sejak membeli kereta Kancil 660cc daripada rakannya, pekerjaan Pak cik Yahya dan isterinya menjadi lebih mudah kerana dengan sedikit pengubahsuaian kereta itu menjadi trak makanan kecil, masa mereka ketika melakukan persiapan jualan menjadi lebih jimat dan tersusun.

Kerja pengubahsuaian Kancil tersebut dilakukan secara kreatif oleh Pak cik Yahya sendiri yang mempunyai pengetahuan dalam kerja membaik pulih kereta, menggunakan peralatan dari bengkel kereta yang dia mulakan sejak beberapa tahun yang lalu.

Menurutnya, tangki minyak kereta Kancil tersebut yang berkapasiti 2 liter telah diubah suai dan dialihkan ke tempat duduk hadapan bagi tujuan keselamatan.

Twitter

“Pada hari-hari biasa, saya akan menjual murtabak berhampiran stesen minyak Petronas di Batang Kali. Kancil ini bukan untuk kegunaan harian, tetapi semata-mata untuk tujuan perniagaan. Dua liter minyak dalam tangki sudah mencukupi kerana jarak pergi balik dari rumah ke tapak perniagaan di Petronas tidak jauh,” kata Pak cik Yahya.

Twitter

Murtabak maggi Pak cik Yahya dijual pada harga RM3 sekeping. Sementara harga untuk pelajar sekolah dijual pada harga RM1 sekeping dengan saiz lebih kecil.

Syabas buat Pak cik Yahya yang kreatif dan inovatif dalam membangunankan perniagaannya. Janji kita ada usaha ingin berjaya dan maju ke hadapan, apa sahaja boleh dilakukan dengan kesungguhan serta niat yang ikhlas ketika mencari rezeki demi pembangunan diri dan keluarga.