Brooklyn Supreme tercatat dalam sejarah sebagai kuda terbesar di dunia

Animal Entertainment

Sepanjang sejarah peradaban dunia, spesies kuda telah melalui banyak perubahan dan terus  berkembang menjadi haiwan gagah perkasa untuk tujuan dan kegunaannya dalam pelbagai lapangan seperti hari ini. 

Semakin baik pakar kuda mempelajari ilmu membiak baka, semakin banyak ukuran dan sifat haiwan tercantik dan pintar ini yang kita perolehi. 

Banyak baka kuda yang dikembangkan untuk semua jenis tujuan dan selama berabad-abad, kuda membantu manusia mencapai tujuan dalam pelbagai lapangan pekerjaan.

Gambar Hiasan | Unsplash

Terutama kuda Belgian Draft, yang bersedia melakukan pekerjaan berat seperti menarik bajak dalam bidang pertanian dan menjadi kuda pilihan kereta kuda. Mereka berdiri di belakang industri pembalakan sebelum peralatan bermotor mengambil alih dan kuda ini lebih menonjol dari semua baka kuda dengan perawakannya yang tinggi dan sangat berotot. 

Salah satu kuda baka Belgian yang terkenal bernama Brooklyn Supreme yang dianggap sebagai kuda terbesar di dunia.

Brooklyn Supreme dilahirkan pada 12 April 1928 dan hidup sehingga 6 September 1948. Selama bertahun-tahun, kuda perkasa ini menjadi terkenal di kalangan pencinta kuda dan haiwan kerana berukuran besar persis gergasi.


Walaupun terdapat banyak perdebatan mengenai identiti kuda yang memegang gelaran sebagai kuda terbesar di dunia pada masa itu, Brooklyn mungkin satu-satunya pemegang rekod dunia untuk kuda terbesar (tetapi bukan yang tertinggi) dan juga diwar-warkan sebagai kuda paling berat di dunia.

Tinggi Brooklyn adalah 201 sentimeter (6 kaki 6 inci) dan seberat 1,451 kilogram (3,200 paun)  dengan lilit ukuran 10 kaki 2 inci (311 sentimeter). Batang besi sepanjang 76.2 sentimeter (30 inci) diperlukan untuk membuat kasut atau ladam kudanya. Brooklyn dipersembahkan oleh Earl Brown dan dijaga dengan baik di Minneapolis, Amerika Syarikat.

Walaupun bertubuh besar dan sasa, orang ramai yang berpeluang melihat Brooklyn Supreme sepanjang hayatnya secara peribadi mengatakan bahawa kuda ini sangat lembut, manja dan baik.