Gelagat Dua Ekor Tikus Bergaduh Sambil Diperhatikan Kucing Buat Warganet Geli Hati

News

Semua orang pasti pernah menonton rancangan kartun ‘Tom & Jerry’. Kisah antara dua ekor haiwan iaitu tikus dan kucing yang tinggal di dalam rumah yang sama tetapi sering berbalah dan saling tidak boleh duduk berdekatan. Selain Tom & Jerry, satu lagi watak animasi tikus yang terkenal adalah Remy dari cerita Ratatouille.

Tetapi pernahkah anda melihat pergaduhan yang tercetus di antara dua ekor tikus? Kini, anda berpeluang untuk menontonnya terima kasih atas perkongsian oleh pengguna Internet yang dikenali sebagai Cheez Goh berasal dari Singapura. Cheez yang sedang perjalanan pulang ke rumah telah menyaksikan insiden pergaduhan yang epik itu dan memuat naik video berdurasi 27 saat ke media sosial.

Malah, ada juga seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @DolphinGaming memuat naik satu lagi video memaparkan pergaduhan tikus yang berlangsung selama hampir satu minit. 

Menurut Cheez, ketika sedang berjalan di bawah blok rumahnya, dia telah melihat kedua-dua tikus berkenaan berlari berkejaran sambil cuba untuk menunjukkan provokasi antara satu sama lain. Bagaimanapun setelah melihat Cheez berada di kawasan kejadian, kedua-dua tikus ini segera lari menyembunyikan diri. Namun begitu, selepas beberapa detik, tikus ini kembali beraksi dan Cheez terus mengeluarkan telefonnya untuk merakamkan peristiwa kejadian.

Apa yang lebih melucukan adalah bukan hanya Cheez yang menjadi penonton dalam kejadian tersebut. Bersama-samanya, terdapat seekor kucing yang turut serta menyaksikan pergaduhan dua ekor tikus berkenaan tanpa mengeluarkan sedikit suara pun. Lihatlah betapa fokus dan tenangnya kucing ini menjadi penonton acara ‘gusti’ itu.

Kata Cheez lagi, pada akhir kejadian, kedua-dua tikus ini mula beralah dan menghentikan perlawanan mereka. Setelah video ditamatkan, salah seekor tikus ini telah menghampiri Cheez sebelum terkejut dan melarikan diri sambil dikejar oleh kucing yang memerhatikannya dari awal. Akan tetapi, tikus ini dengan sepantas kilat dengan menuju ke bahagian longkang sebelum hilang dari pandangan.

Ramai netizen tertarik melihat video pendek berkenaan dan memberikan pelbagai respon terhadap kejadian itu.

“Mereka bergaduh kerana seekor nak makan nasi goreng manakala seekor lagi nak makan nasi ayam”.

“Kucing itu sampai tak tahu nak buat apa”.

“Lepas gaduh, masing-masing balik ke rumah ke?”