Pak cik bersemangat nyanyikan lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dengan lancar, raih perhatian warganet

Inspired Lifestyle

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, budaya dan agama yang hidup saling harmoni di antara satu sama lain, tidak dapat dielakkan buat warganya memilih untuk menguasai lebih daripada satu bahasa dengan sekurang-kurangnya 2 bahasa yang menjadi bahasa pertuturan seharian mereka sehingga ke akhir hayat.

Ketika Bahasa Malaysia terus ditekankan menjadi bahasa yang wajib dikuasai dan dipelajari setiap warganegara Malaysia, seorang pak cik warga emas berbangsa Cina yang berasal dari Pagoh, Johor membuktikan betapa pentingnya martabat bahasa kebangsaan itu terus dipertingkatkan sebagai bahasa penyatuan bangsa di Malaysia.

Kita tidak perlu terkejut untuk menyedari penguasaan Bahasa Melayu yang lancar juga telah lama diamalkan oleh datuk nenek kita yang berbilang kaum sejak negara ini belum mencapai kemerdekaan lagi. 

Sekiranya mereka yang berbangsa Cina atau India tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, maka bahasa Melayu menjadi alternatif bahasa pertuturan terbaik buat mereka untuk berkomunikasi dan saling memahami.

Perkongsian Marina Ibrahim dalam laman Twitter miliknya yang memuat naik video pak cik ini menyanyikan lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dengan liriknya yang lancar dan ingatannya yang kuat telah menarik perhatian lebih 100,000 tontonan dan 5,400 retweet.

Video berdurasi 37 saat ini menunjukkan bagaimana pak cik ini dengan gembira dan senang hati serta bersemangat menyanyi lagu tersebut dalam Bahasa Melayu, malah membuat orang muda masa kini tidak mengira bangsa apa pun akan mula berasa malu dengan kefasihannya dalam Bahasa Melayu dan menjiwai lagu itu, memperlihatkan semangat patriotik buat negara yang dicintainya, Malaysia.

Bagi mereka yang mungkin tidak pernah mendengar lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ yang dinyanyikan pak cik ini, ia juga merupakan slogan nasional yang dipromosikan oleh kerajaan Malaysia ketika bulan bahasa kebangsaan yang bertujuan meningkatkan identiti nasional melalui penggunaan Bahasa Malaysia.

Lirik lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ ciptaan Dol Ramli yang dinyanyikan pak cik ini adalah seperti berikut:

 

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita

Marilah Amalkan Ramai-ramai

Bahasalah Menyatukan Kita Semua

Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

 

Marilah Mari Rakyat Semua

Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa

Maju Bangsa dan Maju Negara

Megahkan Bahasa Kita

Bahasa Jiwa Bangsa

 

Video pak cik yang berjiwa patriotik ini terus menjadi tular dengan meraih perhatian ramai warganet yang menyokong dan memujinya, dengan mengingatkan kita semua supaya mencintai bahasa kebangsaan kerana sudah semestinya Bahasa Malaysia itu jiwa bangsa Malaysia! 

Tonton video di bawah: