Penuh dendam, individu ini kongsi cara tersendiri ‘menghapuskan’ nyamuk ekoran geram digigit

News

Gigitan serangga pada kulit bukanlah sesuatu yang disenangi, bukan? Lebih-lebih lagi serangga menjengkelkan seperti nyamuk. Naik geram dibuatnya! Sudahlah menghisap darah, habis gatal-gatal kulit.

Mungkin perkara itu membuatkan ramai di antara kita yang agak ‘berdendam’ dengan makhluk kecil berkenaan. Ada yang menggunakan penyembur serangga, pukul dengan tangan dan pelbagai lagi untuk membunuhnya.

Namun lain pula halnya dengan seorang pengguna di laman Twitter yang menggunakan nama akaun @Jcaud1 ini.

Pengguna berkenaan memuat naik satu video yang menunjukkan kaedah tersendiri yang digunakannya untuk menghapuskan nyamuk. 

“Saya membalas dendam pada nyamuk yang telah menggigit saya”, tulisnya di Twitter. Video berkenaan dimulakan dengan seekor nyamuk dilihat berada di atas tangan individu terbabit.

Kemudian individu berkenaan dilihat menggunakan penyepit lalu mengangkat nyamuk tersebut lalu membawanya ke sejenis tumbuhan.

Bergelut nyamuk itu mahu meloloskan diri namun semuanya sudah terlambat. Nyamuk berkenaan diletakkan ke dalam ‘mulut’ tumbuhan karnivor yang memakan serangga sebagai sumber nutriennya.

Padan muka! Setakat ini, video berkenaan telah ditonton lebih 1.3 juta kali dan menerima kira-kira 18,000 retweet daripada pengguna Twitter.

Mungkin ada segelintir individu yang berasa ianya kejam namun kepuasan individu tidak sama bukan? Mungkin kaedah ini memberi kepuasan yang tersendiri buat individu ini.

Apa yang penting, luangkan masa untuk membersihkan persekitaran anda daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk, lebih-lebih lagi ketika musim hujan ini. Kesihatan kita dan keluarga lebih penting daripada segalanya.